Tiga daripada 10 individu yang didakwa berhubung kumpulan jenayah terancang ‘Budak Geng Upik’ terlibat dalam pengeluaran wang bank secara haram berjumlah RM24.2 juta dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi.
Tertuduh adalah: Subramaniam Thangavelu, 56, seorang guru; Sugumaran K. Ponniah, 56, bekerja sendiri; dan Hasran Magin, 46, seorang nelayan.
Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah di hadapan hakim Datuk Duncan Sikodol atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan, iaitu membantu kumpulan jenayah terancang berkenaan.
Pertuduhan pilihan tersebut ditawarkan oleh pihak pendakwaan selepas menerima surat representasi daripada tertuduh. Hukuman bagi Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Mereka secara berasingan telah membantu kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius demi kepentingan material kumpulan yang diketuai oleh Josepin J. Langkan antara April 2024 hingga Julai tahun sama di cawangan bank MBSB, di sini.
Berdasarkan fakta kes laporan polis dibuat pada 27 Jun 2024 berhubung risikan terhadap satu kumpulan jenayah terancang yang melakukan kegiatan pemalsuan kad pengenalan, penipuan dan pecah amanah jenayah.
ARTIKEL BERKAITAN- Skandal Perbankan: Bagaimana dua pengurus cawangan MBSB Bank Kota Kinabalu dalang curi RM24.2 Juta wang pelanggan?
Susulan laporan itu, tertuduh ditahan di beberapa lokasi pada 8 Julai 2024.
Hasil siasatan yang dijalankan, mendapati tertuduh telah membantu suatu kumpulan jenayah terancang dalam melakukan kesalahan pecah amanah jenayah oleh kerani atau orang gaji (by clerk or servant) dengan menggunakan dokumen cagaran berharga yang palsu (forged valuable security), iaitu kad pengenalan palsu, bagi mencapai kepentingan kumpulan jenayah terancang tersebut untuk memperoleh faedah material.
Melalui bantuan para tertuduh, kumpulan jenayah terancang ini telah berjaya membuat pengeluaran sejumlah wang yang besar daripada beberapa akaun simpanan tetap di MBSB Bank di Kota Kinabalu, Sabah dengan menggunakan kad pengenalan palsu.
Hasil siasatan juga mendapati kumpulan jenayah terancang yang dibantu oleh tertuduh telah terlibat dalam melakukan kes-kes kesalahan serius termasuk tiga di Manggatal dan satu di Tanjung Aru yang melibatkan transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap mencecah jutaan ringgit.
Kes-kes tersebut melibatkan kesalahan yang disiasat, antara lainnya di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
ARTIKEL BERKAITAN- Curi RM24.2 juta: 2 Pengurus MBSB Bank, 8 individu termasuk ketua sindiket 'Budak Geng Upik' didakwa jenayah terancang
Subramaniam diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan; manakala Sugumaran dan Hasran masing-masing diwakili oleh peguam Dominic Chew dan Azhier Farhan Arisin.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Shafiq Hasim, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, dan Yazid Mustaqin Roslan mengendalikan pendakwaan.
Terdahulu, kesemua tertuduh menerusi peguam masing-masing meminta hukuman ringan antaranya disebabkan mereka adalah pesalah pertama dan keterlibatan mereka hanya sedikit, seperti Hasran yang hanya menyorong kerusi roda masuk ke dalam bank.
Pihak pendakwaan pula antara lain meminta hukuman berbentuk pencegahan yang sesuai dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan. Pihak pendakwaan berhujah pengakuan bersalah tidak seharusnya menjadi pertimbangan utama, selain ini adalah kes pertama seumpamanya yang melibatkan institusi kewangan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 18 Julai bagi sebutan semula kes untuk tujuh lagi individu yang masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Tertuduh adalah Josepin J. Langkan, 38; Nasir Abdul Rasid, 60; Irene Chin Nyuk Thien, 38; Christina @ Caroline Pianus Etip, 53; Vireonis Jonok, 35; Leong Hin Ping, 62; dan Mazlani Jenuary, 53.
Mereka berdepan pertuduhan asal bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang akan disebut pada tempoh dan lokasi yang sama.
Terdahulu, Nasir pada awalnya mengaku bersalah untuk pertuduhan pilihan namun menyangkal fakta kes yang dibacakan terhadapnya menyebabkan pengakuan bersalahnya ditolak.