15 rumah musnah, 8 kenderaan musnah dan 2 bomba cedera kebakaran dua lokasi di Putatan
17:06 Jun 17, 2025  |  By SabahKini2
15 rumah musnah, 8 kenderaan musnah dan 2 bomba cedera kebakaran dua lokasi di Putatan

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan yang juga Komander Operasi, Zainuddin Saidi berkata, dalam kejadian pertama, sebanyak 13 rumah dan enam kenderaan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 3.45 petang semalam.

PUTATAN: Sebanyak 15 rumah dan lapan kenderaan musnah manakala, dua anggota bomba cedera dalam kebakaran melibatkan dua lokasi di sini.

Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan yang juga Komander Operasi, Zainuddin Saidi berkata, dalam kejadian pertama, sebanyak 13 rumah dan enam kenderaan musnah dalam kebakaran kira-kira jam 3.45 petang semalam.

Katanya, sembilan rumah terbakar sepenuhnya, sebuah rumah terbakar sekitar 20 peratus manakala tiga rumah lagi terbakar 10 peratus.

Menurutnya, daripada enam kenderaan yang terlibat, hanya sebuah kenderaan terbakar sekitar 10 peratus manakala, lima lagi kenderaan musnah keseluruhannya.

"Terdapat dua anggota bomba cedera dalam operasi pemadaman termasuk seorang terkena renjatan elektrik dan seorang terkena strok haba.

"Kedua-dua anggota bomba berkenaan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) I menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan kedua-dua anggota masing-masing berumur 27 dan 28 tahun itu dilaporkan stabil selepas menerima rawatan. 

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 4.55 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.31 tengah malam tadi.

Kebakaran kedua berlaku di Jalan Bukit Vor yang melibatkan dua rumah dan dua kenderaan dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Kedua-dua rumah terbabit jenis separuh kekal musnah keseluruhannya dan sebuah kenderaan terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar sekitar 40 peratus.

"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 60 meter dengan dua pancutan sumber air dari jentera bomba," katanya. 

Setakat jam 5.40 pagi, operasi memadam bara api masih dijalankan dan pasukan bomba terus memantau keadaan di lokasi kejadian. 

Sebelum ini, Utusan Borneo melaorkan lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Petagas setakat jam 9 malam tadi. Bagaimanapun, jumlah terbabit meningkat berikutan keadaan kebakaran yang cepat merebak.

Comment