Dua rumah terbakar, warga emas melecur di tapak kaki
16:06 Jun 13, 2025  |  By SabahKini2
Dua rumah terbakar, warga emas melecur di tapak kaki

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.29 malam.

PUTATAN: Seorang lelaki warga emas melecur di bahagian tapak kaki selepas cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Dumpil, di sini, malam Jumaat.

Mangsa berumur 66 tahun itu diberi rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.29 malam.

“Seramai 21 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Putatan digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Penampang dan Kota Kinabalu.

“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal yang musnah keseluruhan. Seorang mangsa melecur di tapak kaki dan diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera untuk memadam kebakaran.

“Pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran dan menyelamatkan dua lagi rumah daripada turut terbakar.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.52 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.37 tengah malam,” katanya sambil memaklumkan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Comment